Info Kesihatan,  Uncategorized,  Vivix

Kerap Sakit Belakang Tanda Kanser Pankreas

Kanser Pankreas boleh menyerang sesiapa sahaja. Lagi merisaukan kanser pankreas ni tak menunjukkan simptom pada peringkat awal. Aku cerita ni berdasarkan pengalaman abah aku sendiri.

Apa yang aku perasan, abah mula mengadu sakit belakang dalam tahun 2011-2012. Waktu tu tak kerap sakit sangat pun. Dengan aktiviti harian abah yang aktif di sekolah, abah guru sukan, balik rumah berkebun plak. Jadi ingat sakit belakang tu sakit biasa. Akhir tahun 2012 abah sibuk plak dengan kenduri kahwin aku. Abah pergi juga berjumpa doktor tapi jawapan yang dapat hanyalah, ANGIN. Dan lagi sedih doktor hanya memberi ubat tahan sakit. Tempat mengurut mana je abah tak pergi, semua dia pergi cuba.

Masuk tahun 2013 sakit belakang abah makin teruk. Tak hilang-hilang. Ubat tahan sakit tu dah macam gula-gula dah. Hari hari kena makan. Sedih bila teringat balik. Aku pun tak terfikir apa apa sebab tak pernah ada pengalaman begitu. Tak teringat nak bawak jumpa pakar ke. Abah hanya pergi klinik dekat rumah je. Abah ada juga buat follow up dengan klinik kerajaan sebelum tu. Cek kencing manis, darah tinggi semua. Seperti aku cakap kanser pankreas ni takde simptom yang jelas.

Masuk tahun 2014, abah masih mengadu sakit belakang. Tapi kerja tetap pergi, abah masih nampak sihat, nampak normal. Cuma takde selera makan. Abah siap join rombongan sekolah abah pg KL balik hari.. mana nk suspek apa-apa kan…
Dalam akhir bulan April 2014, ada kenduri sepupu kami di Shah Alam.. Waktu tu abah dh start sakit pingang siang malam. Kadang-kadang malam tak lena tidur. Kami tengah sibuk sibuk buat preparation kenduri, abah kalut pergi farmasi cari ubat tahan sakit. Waktu kenduri tu pun abah start tak larat sebab sakit belakang. Hanya join ketika tangkap gambar je.

Selepas balik dari kenduri tu, abah ada check up di klinik sebab kalau dah start buat check up, setiap 6 bulan kena follow up. Waktu tu Dr suspek ada batu karang di bahagian belakang badan. Jadi doktor buat andaian awal sakit belakang disebabkan batu karang. Dan abah dirujuk ke Hospital untuk pengesahan.

Tarikh check up di Hospital pada 22 mei 2014.. Dalam menunggu tarikh 22 mei tu, hati risau sangat takut takut ada penyakit lain sebab abah asyik sakit belakang.

Suatu pagi, tengok handphone ada misscall banyak kali dari mak. Hati dah mula tak tenteram. Bila ada panggilan telefon waktu yang awal pagi, lewat malam ni selalunya emergency.
Cuba call balik, kedengaran suara mak tenang. Ok. Legaa..

“Ni kereta abah tak boleh start, tapi dah call Ah Kong suruh tukar bateri. Ni abah tak boleh pergi sekolah lagi, nak pinjam keta hang,mai la rumah bawak sekali roti canai, abah nak.” lebih kurang begitu la bunyinya..

Ya Allah, punya la lega. Ingatkan apa la tadi. rupanya nak bagitau nak pinjam kereta dan suruh beli roti canai.. hehe.Tapi mesti korang hairankan kenapa aku nak risau sangat. mak call je pun..

Erm.. tak tau nak cakap macam mana. Sebab dua tiga menjak abah kelihatan lain. Dia nampak lemah. Pernah satu malam dia call aku, dia bagitau najis dia gelap hitam.. Dia rasa dia kena ulser perut. Aku pun tanya gelap macam mana.. last last die tak tau nak jawab, dia sempat melawak..

“Awat, hang nak tengok ke???

Perbualan kami haritu terhenti dengan gelak tawa.. Tapi, hati ini mula tidak tenteram. Aku mula aktif menggoggle. kenapa najis hitam, dengan keadaan abah yang makin cepat letih, selalu sakit, berat badan kurang 10 kg, takde selera makan.. Kebanyakkan jawapan yang aku jumpa..

KANSER

Sebab itu, bila dapat panggilan telefon pada waktu begitu aku tak keruan. Risau apa apa jadi kat abah.. Tapi bila sampai rumah mak, abah ok je. Elok je makan roti canai. Hati aku ok balik.. Lagipun dengan menggoggle tak menjawab pun masalah kita sebenarnya.

Tak lama kemudian, mak call lagi. tapi kali ini waktu hampir tengahari. Selalu memang aku pergi rumah mak tengahari, mungkin nak pesan apa apa kot. Sejak kahwin, aku dan suami duduk berasingan dengan family. Tapi kali ini lain..

Kak long, abah sesak nafas kat sekolah.. tapi abah kata larat lagi nak drive balik, hang mai la. nanti abah sampai kita bawa pergi klinik

Allahuakbar.. jantung berdegup tak tau nak kata. Nak telan air liur pun seksa. Kelam kabut siap dan pergi rumah mak. Kami tunggu abah sampai. Tak lama kemudian abah sampai, nampak dia lemah keluar daripada kereta dan susah nak bernafas. Abah minta bawa pergi klinik. Tapi aku cakap, jom pergi hospital terus. teruk ni.. abah akur.

Bila sampai di bahagian kecemasan, abah dilayan seperti pesakit biasa dengan alasan masih boleh berjalan dan bercakap sendiri. Kami tak dibenarkan masuk. Xray semua dijalankan. Keputusan menunjukkan paru -paru dijangkiti kuman. Hanya antibiotik dibekalkan dan dibenarkan balik. Ubat perlu dimakan seminggu.

Sehari ke sehari abah makan ubat tanpa gagal. Tapi.. masih sukar bernafas. jalan pun dah tak larat. Bila tengok abah begitu. sedihnya jangan ditanya. Kebetulan minggu selepas itu bertarikh 22 MEI 2014 memang abah ada appoinment dekat hospital sebab masalah batu karang tu. Pada tarikh appoinment tu kami pergi juga untuk masalah batu karang. Ultrasound dijalankan. Waktu ni pun masih sesak nafas. Doktor di bahagian ultrasound bagitau ada tompokan kecil kecil di hati. Dia risau kanser jadi minta maklumkan kepada doktor yang akan kami refer nanti. Waktu tu hati dah makin serabut. Kami pimpin abah jalan sepanjang di hospital. Abah lemah. Result scan itu diserahkan kepada doktor yang kami kena jumpa. Abah dah pesan waktu menunggu giliran dipanggil,

“Kak long, hang masuk teman abah ye” air mata ni nak berjurai. tapi kuatkan juga..

Bila masuk ke bilik Doktor, Doktor kata kena cek ikut bawah takut buasir dan kanser bila abah cakap najis hitam. Waktu cek tu abah menjerit sakit. Doktor kata takde apa-apa tapi tak confirm sebab kanser mungkin ada atas lagi. yang pasal hati tu, dia kata mungkin kanser mungkin bukan so jangan risau. tapi waktu tu sekali lagi aku nak menitis air mata. abah merayu kat doktor tu,

Dr, tolong masukkan saya dalam wad. susah bernafas, rasa letih, sakit pinggang sangat teruk. Dah seminggu makan ubat takde apa apa perubahan.

Setelah puas dipujuk akhirnya baru dia setuju buat surat untuk abah warded. Aku tahu abah dah tak tahan sangat sebab tu dia sampai merayu nak masuk wad. Abah dimasukkan ke wad atas sebab batu karang. Bacaan platlet abah pun rendah (sebab kanser). Jadi doktor masukkan darah. Alhamdulillah abah dah mula boleh bernafas sendiri, dah tak sesak nafas lagi, ada sikit selera makan. Tapi aku tak lupa pasal scan hati abah tu. Aku pergi jumpa sendiri doktor..

Tapi jawapannya..

Dont Worry, your dad ok. tak perlu risau.“. Aku hanya terdiam, apa yang aku boleh buat. aku bukan doktor.

Setelah seminggu lebih di wad abah dibenarkan keluar. Kesihatan abah pulih sedikit tapi masih lemah. Kebetulan waktu abah di rumah, birthday abah. Kami cuba raikan walau pun hati tak gembira. Abah nampak lemah, badan makin kurus. Abah teringin ice cream Haagen Daz jadi kami beli waktu birthday abah tu. Abah hanya makan sesuap sambil senyum. Sedap katanya. Tapi tak lalu. Sedih tengok keadaan abah waktu tu.

Selang seminggu kot, abah sesak nafas lagi. Waktu tu masih mc. Sekali lagi aku dengan mak bawa abah pergi Hospital. Adik-adik masih belajar waktu tu. Aku pecut kereta tapi abah sempat tegur,

Takyah bawak laju laju, abah ok lagi”

Aku sempat berpaling tengok abah bersandar dekat mak. Sedihnya…

Kali ni doktor cek kenapa masih sesak nafas dan bersetuju nak jalani CT SCAN. Sekali lagi masalah tiba apabila result ct scan tak dapat terus. Perlu tunggu dalam sebulan lebih. Abah dimasukkan darah sahaja di hospital untuk hilangkan sesak nafas dan dibenarkan keluar selepas beberapa hari.

Di rumah, sekali lagi abah hanya mampu terbaring. Tiba-tiba serangan sesak nafas datang lagi. Kali ni hari Ahad. Kami adik beradik buat keputusan ke hospital lain untuk dapatkan result dengan cepat. Sampai di hospital, Doktor berjumpa dengan kami. Terus dia cakap dia suspek abah ada kanser cuma tak pasti telah merebak atau belum. Dada abah dah keras. Doktor ni buat beberapa ujian, tak sampai 24 jam semua keputusan dah sedia. Dia memanggil ahli keluarga.

Ayah u kena KANSER PANKREAS, sekarang kanser dia dah merebak ke organ lain. Tengok ni tiada ruang kosong di hati dia yang takde kanser (sambil menunjukkan di skrin) , semua dah penuh kanser, kalau ada stage 5 kanser ,memang dah stage 5″

Nak tercabut rasa nyawa waktu tu. Kaki dah tak pijak Bumi. Maksudnya abah dah tunggu masa untuk pergi. Allahuakbar.

Sakit belakang yang selama ni dianggap sakit belakang biasa adalah simptom KANSER PANKREAS.

Abah meninggalkan kami kira-kira 3 minggu dari tarikh dapat dikesan sakit abah. Bulan 15 RAMADHAN 13 Julai 2014 ketika waktu sahur, 2 hari sebelum hari lahir mak. Perginya seorang abah yang sangat penyayang, sangat rapat dengan anak-anak.

Tolong doakan abah masuk syurga tanpa hisab ye. Al-fatihah buat abah ku yang dirindui, RAMLEE BIN ISMAIL.


One Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge